Wednesday, June 23, 2010

Gigih Walaupun Berusia 76 tahun.



Ayah saya telah berusia 76 tahun. Satu usia yang sangat lama. Alhamdulillah kesihatan ayah masih diperkenankan oleh Allah S.W.T untuk bergerak dan menghadiri solat berjemaah dimasjid walaupun bersembahyang duduk. Moga ayah terus dikurniakan kesihatan yang sangat baik oleh Allah S.W.T.

Penulisan ini bukanlah ingin menceritakan tentang kegigihan ayah saya, namun ingin saya kongsikan peristiwa yang berlaku semasa mahu pulang dari Kursus Kehakiman Kawad kakai 2010. Semasa melalui jalan menghala ke Pekan Kuala Kubu Bharu, saya terlihat seorang pakcik berbangsa india sedang berjalan kaki membawa barang. Pakcik tersebut kelihatan terlalu uzur ( badannya bongkok ketika berjalan ) namun gigih berjalan. Lantas saya melalakukan pusingan u dan memberhentikan kenderaan untuk bertanyakan arah tuju destinasi beliau. Ujarnya mahu ke Kerling bagi menghadiri majlis Perkahwinan saudara. Saya mempelawa beliau untuk menghantarnya ke stesen bus terdekat.

Dalam perjalanan tersebut saya sempat mengajukan soalan, berapa usia? tinggal dimana? tidak penatkan berjalan kaki? masih kuat untuk berjalan dan pelbagai soalan lain. Usia beliau sama dengan ayah saya 76 tahun. Beliau tinggal di Amapang Pecah dan mahu ke Kerling. Ujar beliau, berjalan kaki sudah sebati dalam hidupnya. Saya kagum walaupun telah berusia namun masih kuat untuk berjalan. Beliau juga sempat menceritakan pengalamannya satu ketika dahulu ketika muda bekerja di sebuah loji air di Rawang. Tutur katanya fasih berbahasa melayu dan ingatannya sangat tepat (menceritakan sejarah negara tahun 1962).

Tiba di stesen bus, beliau mengucapkan terimakasih. Satu pesanan beliau sebelum usai meninggalkan kereta saya begini bunyinya :

" untuk sihat kita harus kerap melakukan sembahyang ( menghadap tuhan ), jangan melakukan sesuatu yang tidak baik ( berjudi, meminum arak dan merokok ) serta selalu memakan ulaman "

Saya teruja dan terkedu dengan kata-kata beliau lantas saya terus mengambil gambarnya sebagai kenangan. Saya mendoakan jua kesihatan beliau berkekalan.

Termenung saya memikirkan kecekalan beliau sambil melihat beliau berlalu menuju sebuah bus yang telah tiba...

Kursus Kehakiman Kawad Kaki Peringkat Daerah Hulu Selangor 2010

Kursus Kehakiman Kawad Kaki Daerah Hulu Selangor telah dijalankan di Kem Kokorikulum Hulu Selangor, Ampang Pecah 22-23 Jun 2010. Saya terlibat sebagai fasilitator program selama 2 hari ini. Pengisian program sebenarnya lebih menjurus dan fokus kepada asas penilaian dan penghakiman kawad kaki. Program ini sememangnya mampu menjadi satu platform buat guru baru seperti saya untuk mendalami asas dan kemahiran penilaian bagi penjurian pertandingan kawad kaki. Terima kasih buat Puan Wan Khatijah kerana memilih saya mewakili sekolah. Semoga input dan ilmu yang diperolehi dapat memantapkan nilai keintelektualan dalam kurikulum kawad.





Tuesday, June 22, 2010

Saya Mungkin Telah Tua !


Membaca tajuk di atas, sudah tentu saya mahu menarik balik kata-kata tersebut ( sebenarnya masih perasan muda ). Minggu hadapan ( 2 dan 3 Julai 2010 ) saya akan ke Tawau, Sabah untuk menziarahi sahabat lama. Saya hampir terlupa. Mujur sahabat saya mengingati semula. Mantan anak murid saya di SMK Wangsa Maju 2 dahulu memberi komen pada ulasan muka buku (facebook) saya, ujarnya - cikgu ni dah tua, itu yang banyak lupa. Benarkah saya sudah tua?...

Sukar Untuk Mencari Teman Hidup !



gambar sekadar hiasan yang benar ( frasa yang agak pelik bunyinya )

Ya benar. Memang sukar untuk mencari pasangan hidup yang sesuai dengan diri kita. Saya pernah menjalinkan hubungan ( bukanlah hubungan terlarang / songsang / seksual ) kasih sayang dengan beberapa teman wanita, namun kecundang di pertengahan jalan. Sepatutnya pertengahan tahun ini ( Jun 2010 ) saya sudah merancang untuk mengikat pertunangan. Namun semuanya hanyalah impian yang tidak dapat digapai. Mungkin penulisan ini agak "jiwang" bunyinya namun benar, bagi saya percintaan yang seterusnya membawa kejinjang pelamin bukanlah sesuatu yang mudah. Sehingga nukilan ini saya hasilkan telah lebih 1 tahun 2 bulan saya tidak memiliki teman wanita. Saya terus bersendirian... menghitung masa dan mencari idea, bagaimana mahu memilih teman hidup buat sepanjang zaman..bagaimana ya?

Kita Sebenarnya Terleka Dengan Tipu Daya Dunia


Dalam dunia yang sangat pantas ( hari semakin cepat ), alam ini sentiasa berputar dengan pelbagai cerita dan peristiwa yang mewarnai alam buana. Manusia sekarang sering dikejar dengan bayangan dunia. Materialistik menjadi tunjang pertama untuk di laungkan, manakala selebihnya hanya semangat hipokrisiti sahaja jika mahu di martabatkan. Contohnya menderma bukanlah lagi satu amalan yang dituntut untuk bersedekah secara ikhlas, tetapi elemen keduniaan diserap masuk ( umpama hedonisme bunyinya ) melalui tayangan jumlah sumbangan dan liputan meluas supaya disaksikan oleh dunia. Seandainya pula terdapat sesuatu isu ataupun masalah besar dunia, maka ramailah mahu terngaduk ( maaf andai salah berbahasa ) setelah batuk ringan yang tidak diubati. Masalah berkaitan isu penebangan hutan contohnya telah acapkali di war-warkan, namun tatkala media menghebahkan maka beruduyunlah para penjawat yang budiman ( baca dalam nada sinis ) turun dengan proaktifnya. Maka satu lagi rentetan tipu daya dunia dipaparkan pada umum...Maka dunia pada hari ini sering dimomokkan dengan pelbagai omongan yang untuk diterjemahkan secara jujur dan nyata. Kita Sebenarnya.......

Profesor Emeritus Abdullah Hassan


Saya benar-benar mengagumi ketokohan beliau sebagai seorang yang mempunyai pemikiran, sementelah itu memiliki semangat adiwira dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan. Saya sungguh bertuah kerana pernah menjadi sebahagian daripada anak muridnya yang marhaein dalam berbahasa semasa di bangku pengajian Universiti. Terimakasih Profesor atas pemikiran dan ideologi yang sangat sempurna. Jika anda ingin mengenalinya dan melihat ketokohannya bolehlah melawat muka buku (facebook) beliau di halaman ini Abdullah Hassan.

Saturday, June 19, 2010

Sudah lama rasanya tidak menulis dalam blog ini..Kesibukan membuatkan banyak perkara tidak dapat dilakukan. Menjadi sang MUALLIM penuh kesibukan yang tidak berbelah bagi...Selepas ini saya cuba mengisi meluang sedikit masa untuk menukilkan sedikit kata di blog ini

Menghadiri Majlis Raja Sehari Musim Cuti Sekolah

Minggu cuti persekolahan memang menjadi satu tarikh yang dinantikan buat sesiapa yang ingin melangsungkan hari bahagia. Sudah dijangka lebih 10 orang rakan berkahwin semasa cuti ini. Selamat pengantin baru buat Fazilah Ahmat ( Rakan di SMK Kuala Kubu Bharu ), Abd. Rahman Hafiz ( Rakan SK Sungai Buaya ), Nina Affendi ( Rakan SMK Kuala Kubu Bharu ), Razman ( Rakan SMK Kuala Kubu Bharu ), Sarimah ( Rakan UPSI ) dan beberapa rakan lain lagi yang tidak dapat saya hadiri. Selamat Pengantin Baru buat semua. Semoga berbahagia keanak cucu. Persolan biasa buat diri ini - bila lagi?



Friday, June 18, 2010

Afrika Selatan Tumpuan Dunia.


Piala Dunia FIFA 2010 adalah Piala Dunia FIFA ke-19, kejohanan bola sepak antarabangsa terulung. Ia berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai 2010 di Afrika Selatan. Inilah kali pertama kejohanan ini dianjurkan di sebuah negara Afika, setelah Afrika Selatan menewaskan Maghribi dan Mesir dalam proses pembidaan yang melibatkan kesemua calonnya dari Afirka. Itali adalah juara bertahan yang memenangi Piala Dunia FIFA 2006 di Jerman. Antara negara yang menjadi tumpuan sudah tentu seperti Portugal, England, Spain, Brazil dan Jerman. Namun sehingga entri ini dihasilkan Spain contohnya tewas mengejut dengan switzeland 1-0. Maka pertandingan ini semakin sengit dan percaturan semakin hebat. Nantikan 11 Julai.


Di musim bola sepak ini, saya turut berkesempatan menyaksikan beberapa perlawanan menarik bersama sahabat antaranya perlawanan Portugal dan Ivory Cost minggu lalu. Selebihnya menyaksikan dirumah sahaja. Digegak gempita Piala Dunia Sukan Malaysia dan SUKMA juga berlangsung, nampaknya seri SUKMA malap dek tumpuan kepada Piala Dunia kali ini.

1 Mei Putrajaya

Sebenarnya sudah terlewat menghantar entri ini. 1 Mei hari pekerja saya dan sahabat ( Norhelmi , Abd. Rahman, Noraamin , Seri dan Siti Nadzrah) menerjah Putrajaya tempat lama saya bekerja dahulu. Niat hanya mahu berjalan-jalan sempena cuti pekerja. Putrajaya memang indah pada waktu malamnya dengan kerlipan lampu dan bangunan-bangunan yang tersergam indah. Dibawah adalah beberapa gambar yang sangat menarik diambil semasa di Putrajaya






Perayaan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Hulu Selangor 2010

AHLI JAWATANKUASA SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU DAERAH HULU SELANGOR 2010

PASUKAN KOIR GURU SMK TAMAN BUNGA RAYA 1

MENJADI PENGACARA BERSAMA PUAN SALWANA


Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Hulu Selangor disambut pada 2 Jun 2010 (Rabu). Bertindak selaku pengacara majlis berpasangan dengan Puan Salwana juga rakan setugas di sekolah yang sama merupakan pengalaman yang sangat berharga. Majlis diadakan di Dewan Muktamar Darul Quran Kuala Kubu Bharu bermula jam 2.30 petang sehingga 5.30 petang. Majlis sambutan Hari Guru ini mengiktiraf dua orang guru cemerlang dari Daerah Hulu Selangor dan beberapa penganugerahan Guru Inovatif dan Guru Cemerlang Pendidikan Khas. Tahniah buat rakan sejawat di SMK Bukit Sentosa, En. Abd Razak Abd Hashim (Inovatif) dan Pn. Siti Ngamaliah (Inovatif) kerana telah menerima Anugerah Guru Inovatif pada tahun ini.

YOUTH'10 - PETAH Rekod Debat Tanpa Henti 111 Jam Pelbagai Bahasa

SIJIL MALAYSIA BOOK OF RECORDS

SEDANG BERHUJAH DIMINIT KE 600

BERGAMBAR DENGAN SAHABAT YANG TURUT MENYERTAI

JAWATANKUASA BERGAMBAR KENANGAN DENGAN DATO' MUKHRIZ TUN MAHATHIR

PETAH YOUTH'10 selesai melunaskan misi dan matlamatnya 111 jam debat tanpa henti dalam pelbagai bahasa di Pusat Dagangan Dunia Putra 28 Mei sehingga 2 Jun 2010. Saya sebahagian daripada individu yang menyertainya di minit ke 600 (jam ke10) pada hari pertama. Tahniah buat semua jawatankuasa penganjur yang juga rakan senagkatan debat Institut Pengajian Tinggi yang telah berkorban masa, tenaga dan mental dalam melestarikan impian The Malaysian Book Of Record kali ini. Tahniah!

Gotong Royong Perdana SMKBS 2010

PENGETUA DAN PEGAWAI URUSAN PERODUA SEDANG MENANAM POKOK SEBAGAI SIMBOLIK PERASMIAN

PARA GURU SEDANG MENDENGAR SESI UCAPAN MAJLIS PERASMIAN

ANTARA SEBAHAGIAN DARIPADA AKTIVITI GOTONG ROYONG PERDANA 2010

SMK Bukit Sentosa menganjurkan Gotong Royong Perdana pada hari Sabtu 15 Mei 2010. Program anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Perusahaan Automobil Kedua (PERODUA) ini merupakan program tahunan sekolah yang sering dianjurkan pada pertengahan tahun.

Sekolah sebagai pusat untuk menimba ilmu pengetahuan memerlukan suasana persekitaran yang kondusif serta memiliki nilai keindahan, keceriaan dan kebersihan yang sempurna. Program yang dianjurkan ini akan melahirkan warganya yang mencintai suasana persekitaran yang seimbang bukan sahaja baik dari segi pencapaian akademiknya malah persekitaran dan fizikalnya juga.

Program sehari ini diadakan bagi menggalakkan pelajar bekerjasama antara satu sama lain dalam menjaga kebersihan sekolah . Disamping itu juga, program ini dapat memberi
kesedaran kepada murid tentang kepentingan menjaga kebersihan.

Hari Guru SMK Bukit Sentosa 2010

PENGETUA MEMOTONG KEK HARI GURU SAMBIL DISAKSIKAN OLEH PENTADBIR DAN GURU-GURU

Hari guru merupakan hari memperingati guru yang selama ini telah banyak mendidik. 16 Mei merupakan hari bagi memperingati jasa dan pengorbanaan guru. Tahun pertama secara rasmi menyambut hari guru di SMK Bukit Sentosa, Rawang sangat mengujakan. Sambutan diperingkat sekolah diadakan pada 17 Mei (isnin) jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari. Seperti sambutan-sambutan biasa, acara bacaan teks perutusan, persembahan guru dan pelajar menyusur dan berselang seli dengan majlis penganugerahan. Hadiah? terima kasih buat anak didik yang memberi hadiah. Sebenarnya bukanlah hadiah yang saya mahukan, cukuplah ingatan dan ucapan ringkas dari semua. Guru Pembina Negara Bangsa merupakan tema untuk kesekian kalinya pada tahun ini selepas tahun lalu. Selamat hari guru buat semua guru yang pernah mendidik diri ini dari bangku sekolah rendah sehingga universiti. Sekali melangkah sejuta kali merubah.. Terimakasih cikgu.