Saturday, March 15, 2008

AKU BAKAL GURU...

PAGI 16 Mei 2005, saya dikejutkan
dengan beberapa orang anak murid yang
meluru ke arah saya. Wajah mereka
berseri-seri lalu masing-masing
menghulurkan bungkusan berwarna-warni.

"Cikgu... Selamat Hari Guru!" kata
mereka bertepuk tangan sambil berlari-
lari anak mengelilingi saya.

Memang saya terkejut kerana sebelum
itu tidak pernah saya khabarkan pada
anak-anak murid tentang tarikh
sambutan Hari Guru, apalagi
mengingatkan mereka.. Bagi saya mereka
terlalu muda dan belum dapat menilai
erti sambutan Hari Guru. Rupa-rupanya
saya silap. Tanpa saya menyangka pagi
itu meja saya di-penuhi pelbagai jenis
hadiah. Ada yang membawa jambangan
bunga, jam, bingkai gambar,
kerongsang, tudung dan macam-macam
lagi. Hari itu saya rasakan terlalu
indah. Saya rasa disanjungi, lalu pipi
anak-anak murid saya kucup tanda
menghargai pemberian dan ingatan
mereka.

"Terima kasih... bagitau ibu, cikgu
ucapkan terima kasih, ya," pesan saya
pada Anna lalu satu kucupan singgah di
pipi gebunya.

Di sisi Anna, saya lihat Mariam
tersengih-sengih.

"Cikgu... Mariam pun nak bagi hadiah.
Tapi takbawa hari ni, lupa. Boleh
cikgu, ya? " kata anak kecil itu
bersungguh.

"Tak payahlah Mariam. Tak bagi pun tak
apa. Cikgu bukan minta hadiah,
cukuplah Mariam ucap Selamat Hari Guru
buat cikgu. Itu pun sudah buat cikgu
gembira," saya cuba memujuknya kerana
tidak mahu menyusahkan Mariam dan anak-
anak murid yang lain.

Sebagai cikgu, saya tahu serba sedikit
latar belakang keluarga mereka. Kerana
itu saya tidak mahu ada di antara anak-
anak murid saya yang bersusah payah
menyediakan hadiah, lebih-lebih lagi
Mariam. Dia bukan anak orang senang,
ibu bapa Mariam membesarkannya hanya
dengan meraut lidi, mencari daun getah
kering lalu menjualkannya. Sebab itu
saya tidak mahu Mariam rasa bersalah
bila melihat teman-teman yang lain
memberikan hadiah sedangkan dia tidak
membawa apa-apa. Bagi saya, lebih
baiklah duit yang ada itu digunakan
oleh ibu bapa Mariam untuk makan minum
keluarga, atau belikan baju baru untuk
Mariam buat menggantikan baju yang
kusam dan masam dek peluh.

Saya gembira mendidik murid seperti
Mariam. Biarpun ibu Mariam sudah lama
meninggal dunia namun anak kecil itu
masih bertuah kerana ibu tirinya
menyayangi Mariam tidak ubah seperti
anak kandung sendiri. Buktinya setiap
pagi saya lihat anak kecil itu datang
ke tabika sambil dipimpin ibunya,
berjalan kaki sejauh dua kilometer
setiap hari. Kalau ada yang
bersimpati, di tengah perjalanan ada
keluarga murid-murid lain akan
menumpangkan Mariam. Kalau tidak
Mariam akan terus berjalan kaki dalam
panas gerimis, pergi dan balik.
Begitulah setiap hari.

Esoknya sekali lagi meja saya dipenuhi
dengan pelbagai jenis hadiah. Kali ini
datang daripada anak-anak murid yang
tidak sempat memberikannya semalam.
Saya hanya mampu menggeleng-gelengka n
kepala bila mana sambutan Hari Guru
tahun ini benar-benar meriah.

Seperti biasa, pagi itu saya berdiri
di hadapan pintu menyambut seorang
demi seorang ibu bapa datang
menghantar anak masing-masing. Di muka
pintu sekolah, saya dengar seorang
bapa berpesan; "Hadiah tu bagi kat
cikgu, tau." Tatkala itu saya benar-
benar tersentuh kerana saya langsung
tidak menyangka cukup dihargai oleh
anak-anak murid yang masih kecil
usianya.

Dari halaman, saya lihat Mariam
berpimpinan tangan dengan ibunya. Saya
sambut kedua-dua mereka dengan
senyuman. Sama seperti pagi-pagi
sebelumnya, Mariam tiba di tabika
dengan keadaan tubuh yang bermandikan
peluh. Bajunya basah namun kanak-kanak
itu tetap ceria, tersenyum seperti
biasa.

"Cikgu! Mariam bawa hadiah untuk
cikgu!" laungnya sambil ketawa.

"Kan cikgu dah pesan, Mariam tak payah
bagi cikgu hadiah," kata saya lalu
mengusap rambut Mariam yang bertitisan
peluh, dengan rasa kasih yang mendalam.

"Tak apa... hadiah ni best cikgu!"
kata Mariam bersungguh-sungguh.

Meriam meletakkan begnya di atas meja.
Pantas jari-jemari comelnya membuka
zip beg sekolahnya yang sudah pudar
warna akibat dimamah cahaya matahari.

"Sekejapya, cikgu," kata Meriam yang
masih tercungap-cungap kepenatan.

Saya lihat Meriam mengeluarkan sesuatu
dari dalam beg. Dia tersenyum sebaik
menghulurkan segumpal surat khabar
yang berkecai dalam genggamannya.

"Alaaaa... koyak pulak cikgu," rungut
Meriam penuh kekesalan. Matanya
membulat memandang saya yang masih
setia menantinya. Beberapa anak-anak
murid yang lain turut berdiri tidak
sabar lihat apa yang Meriam keluarkan.

"Apa yang Meriam bawa tu? " saya tanya
penuh hairan melihat sesuatu yang
bulat dibungkus dengan surat khabar
lama.

Saya dekati anak kecil itu lalu
menyelak beg yang dibawanya. Di saat
itu hati tiba-tiba menjadi sebak
sebaik melihat lima biji buah bacang
bertindihan dengan buku-buku
tabikanya. Dada saya ini mula terasa
berat, ada air yang mula bertakung di
kelopaknya.

"Cikgu ambillah plastik, rumah Mariam
tak ada plastik sebab tu mak bungkus
dengan kertas. Tapi koyak pulak,"
katanya lincah sambil sebiji demi
sebiji buah bacang dikeluarkannya dari
dalam beg sekolah. Gelak tawa kawan-
kawannya mula kedengaran namun Meriam
masih tersenyum lalu matanya merenung
saya dengan pandangan yang cukup sayu.

"Cikgu... cikgu tak suka buah bacang
ke? " tanya anak kecil itu bila
melihat saya merenung wajahnya dan
lima biji buah bacang yang bergulingan
di atas meja.

Saya cuba tahan air mata supaya tidak
mengalir. Terlalu sebak rasanya.

"Taakkkkk... Cikgu... cikgu suka
sangat. Balik nanti cikgu buat sambal
belacan, ya," kata saya, perlahan.
Suara saya bagai tersekat di
kerongkong.

Dapat saya lihat anak kecil itu
mengukir senyum. Saya peluk tubuhnya
yang masih bermandi kan peluh. Tidak
dapat saya gambarkan bagaimana anak
kecil itu membawa lima biji buah
bacang sambil berjalan kaki sejauh dua
kilometer.

Saya kucup pipinya beberapa kali lalu
tidak henti-henti ucapan terima kasih
saya bisikkan ke telinga Mariam.

"Bagitau mak... cikgu suka buah
bacang. Terima kasih, ya," ucap saya
lagi.

Anak kecil itu mengangguk.

"Tengok Meriam pun bagi hadiah kat
cikgu juga," katanya kepada kawan-
kawan sambil tersenyum riang.

"Eleh.... buah bacang bukan hadiah.
Orang bagi hadiah kena bungkus lawa-
lawa, bukan dengan kertas koyak," kata
seorang anak murid yang masih tidak
mengerti nilai sebuah hadiah yang
sebenar-benarnya.

"Tak apa... semua hadiah cikgu suka.
Balut lawa atau tidak, semuanya sama.
Cikgu sayang semua anak-anak murid
cikgu," saya ucapkan kata-kata itu
agar hati dan perasaan anak sekecil
Mariam tidak terguris.

Dapat saya lihat Mariam sekali lagi
ketawa lalu bertepuk suka. Beberapa
titis air mata yang sejak tadi saya
tahan, akhirnya tumpah dipipi. Cepat-
cepat saya mengesatnya bimbang anak-
anak kecil yang suci dan bersih itu
perasan kerana mereka belum dapat
menyelami perasaan seorang insan yang
bergelar guru.

Buah bacang pemberian Mariam itu saya
bawa pulang dengan perasaan bangga
bercampur hiba. Walaupun ia hanya lima
biji bacang, tapi hadiah itu amat
istimewa. Wajah Mariam, bajunya yang
dibasahi peluh dan senyumannya yang
ikhlas bermain-main di ruang mata saya.

Tengah hari itu sambal belacan buah
bacang menjadi santapan kami
sekeluarga dan semasa menelannya,
beberapa titik air mata ini tumpah
lagi kepipi.

Terima kasih, Mariam. Lima biji bacang
itu merupakan hadiah paling bermakna
buat cikgu dan cikgu tidak akan
lupakan sampai bila-bila.


CERITA INI MENJADI SATU PANDUAN UNTUK AKU YANG BAKAL MENJADI SEORANG GURU KELAK...TUGAS IKHLAS YANG DI PEGANG PERLULAH KEKAL SEHINGGA KEAKHIR HAYAT..INSYAALLAH..SAMA2 DOAKAN AKU...

No comments: