Wednesday, April 16, 2008

Isu Bola Sepak, Politik dan FAM...

FAM BERMOTIF POLITIK? POLITIK DAH MASUK CAMPUR DALAM SUKAN? WTF


BERITA HARIAN


Hukuman kes 'cabut lari' tak sah

Oleh: Ahmad Khawari Isa (BERITA HARIAN)

JAWATANKUASA Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan kesilapan besar ketika menghukum Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), jurulatih Dollah Salleh dan empat penyerang Merah Kuning - Akmal Rizal Rakhli, Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Amirul Hadi Zainal.

Rumusan itu terhasil kerana selepas beberapa usaha meraih reaksi balas, semalam, badan induk itu sendiri - biarpun tidak secara terbuka - tidak dapat lari daripada mengakui hakikat berkenaan.

Lebih mengharu-birukan keadaan ialah 'keghairahan' Jawatankuasa Disiplin FAM itu mendedahkannya kepada dakwaan 'melangkaui batas kuasa' kerana peraturan diguna pakai untuk menghukum pihak-pihak berkenaan bukan milik jawatankuasa berkenaan.

Untuk 'menghalalkan' hukuman itu, jawatankuasa berpegang kepada Garispanduan Status dan Perpindahan Pemain 2007-2008 - yang jika perlembagaan badan induk itu jadi pegangan - dirumus dan disediakan untuk kegunaan Jawatankuasa Status Pemain FAM.

Apa yang ada untuk Jawatankuasa Disiplin FAM ialah 'Garispanduan Peraturan dan Tindakan Disiplin', mengandungi senarai salah laku serta hukuman terhadap pihak bersalah.

Lebih hebat, kesalahan 'cabut lari daripada acara anjuran sebuah syarikat' dan 'jurulatih yang mengarahkan tindakan sebegitu' tidak langsung terkandung dalam garis panduan berkenaan.

Lantas apa digunakannya? Satu peruntukan kecil dalam garis panduan itu yang membolehkan Jawatankuasa Disiplin FAM menggunakan budi bicara untuk membincangkan mana-mana kesalahan yang difikirkannya sesuai selain mengambil tindakan yang difikirkannya berpatutan.

Dalam erti kata mudah, Jawatankuasa Disiplin FAM mampu mengheret mana-mana pihak sekalipun, atas apa-apa kesalahan sekalipun - berdasarkan pertimbangannya - untuk dibicara dan dijatuhkan hukuman.

Contohnya ialah jika seorang pengadil tersilap dalam membuat keputusan, dia mampu diheret ke Jawatankuasa Disiplin. Apa cuma diperlukan Jawatankuasa Disiplin ialah menegaskan tindakan sebegitu terkandung dalam Garispanduan Jawatankuasa Pengadil dan kerana itu, Jawatankuasa Disiplin boleh menghukumnya.

Tidak masuk akal? Sudah tentu. Tetapi itulah yang dilakukan Jawatankuasa Disiplin, kelmarin. Menggunakan 'kuasa' Jawatankuasa Status Pemain FAM untuk mengheret pihak didakwa dan menghukum mereka.

Bagaimana pula dengan hukuman memotong tiga mata Liga Super daripada Selangor? Pemeriksaan teliti garis panduan untuk Jawatankuasa Disiplin juga gagal menjelmakan sebarang peruntukan untuk mengambil tindakan sebegitu.

Kuasa itu sebaliknya jadi milik Jawatankuasa Pertandingan Tempatan - badan berkuasa dan bertanggungjawab mengendali, mengelola dan mengawasi perjalanan semua pertandingan bola sepak tempatan, termasuk Liga Super dan Piala FA.

Lebih menarik, kesalahan empat pemain Selangor itu - yang disuruh Dollah - adalah untuk menghadapi aksi Piala FA. Adakah FAM sebenarnya mahu menghayati pepatah 'pukul anak, sindir menantu?'

Atau ada agenda lain mahu diterajui? Fakta utama perlu diakui ialah klinik kendalian bekas bintang Liverpool, Ian Rush, adalah anjuran sebuah syarikat - seperti kenyataan dicanangkan pihak berkaitan dengannya ketika perasmian klinik berkenaan.

FAM, ataupun jawatankuasa eksekutifnya, sekadar meluluskannya. Ia bukan bermakna klinik itu jadi 'milik FAM'. Jika tidak, FAM tentu bermasalah kerana adakah bermakna semua acara diluluskan jawatankuasa FAM, tetapi dikendalikan pelbagai pihak lain, juga jadi milik mereka dengan semua ahli gabungan perlu patuh jika tidak mahu dihukum?

Fakta kedua ialah Jawatankuasa Disiplin FAM, jika berdasarkan bidang kuasa yang ada padanya - mengikut Perlembagaan FAM - tidak punya kuasa untuk menangani kes itu.

Lantas, timbul persoalan, adakah kerana ada pihak mahukan empat pemain, Dollah dan FAS dihukum, terpaksalah juga dicari mana-mana peruntukan 'yang ada kaitan' supaya mereka mampu diheret ke muka pengadilan?

Kepimpinan FAM sebelumnya sentiasa jadi kebanggaan warga sukan negara, dengan pengiktirafan pernah diberi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Majlis Sukan Negara (MSN), di sebalik prestasi hambar skuad negara di pentas antarabangsa.

Sudah tentu pucuk pimpinan FAM serta sekretariatnya tidak mahu reputasi itu terus-terusan terhakis, tambahan pula kerana keghairahan memperjuangkan kes yang asasnya 'dibina daripada dahan terlalu rapuh'.